Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk mencorakkan gaya hidup dan keperibadian anak mereka sejak kecil lagi. Pepatah seperti ‘meluntur buluh, biarlah dari rebungnya’ sangat sinonim untuk mereka yang sudah bergelar ibu bapa.

Apa yang ibu bapa tonjolkan atau berikan kepada anak mereka, itulah yang mereka akan ikut dan lihat satu hari nanti. Sama juga seperti pemakanan, jika mereka terlampau memanjakan anak mereka dengan makanan yang kurang sihat nescaya kesihatan mereka juga akan menjadi kurang sihat.

Tidak dinafikan ada sesetengah ibu bapa zaman serba canggih kini keliru dalam membimbing anak-anak mereka ke arah gaya hidup sihat sehingga ada yang berpendapat bahawa apa yang dilakukan oleh mereka adalah benar walhal ia adalah tidak benar sama sekali.

Jom kita lihat antara tips yang boleh diguna pakai dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang menitik beratkan gaya hidup sihat.

  • Sentiasa menyediakan makanan yang seimbang

Sebagai ibu bapa, anda kena sentiasa peka dengan zat-zat besi yang sangat diperlukan setiap pemakanan. Anda seharusnya tahu bahawa apa yang anda hidangkan itu lah yang meraka akan makan. Cuba bayangkan jika anda sentiasa menghidangkan mereka dengan makanan fast food? Apa akan jadi pada mereka?

  • Letak sedikit hiasan pada makanan

Ibu bapa harus sentiasa kreatif untuk menarik minat anak mereka untuk makan makanan yang sihat. Mungkin ibu bapa boleh susun beberapa jenis sayuran secara kreatif bersama hidangan lain agar ia kelihatan menarik pada mata anak-anak anda.

  • Cabar anak anda dengan senaman yang mencabar tahap fizikal mereka

Sebagai contoh rock climbing. Percayalah, ia dapat membantu untuk meningkatkan gaya hidup yang sihat anak anda.

  • Elak sikap memarahi anak untuk makan dengan cepat

Setiap kali ke restoran, Abang Brian perasan akan ada sesetengah ibu bapa yang gemar memarahi anak mereka yang makan begitu lambat. Apa salahnya makan dengan lambat? Tidak salahnya jika mereka mengunyah makanan dengan perlahan kerana dengan cara itu, makanan  yang dimakannya itu akan betul-betul hancur. Bukan itu sahaja, ia juga dapat melancarkan proses penghadaman.

  • Jangan terlalu menyekat kebebasan anak anda bermain

Setiap ibu bapa mesti inginkan anak mereka cemerlang dalam pelajaran tetapi itu tidak bermaksud anda boleh menyekat kebebasan mereka untuk bermain. Tak akan mahu belajar 24 jam sahaja? Tidak salahnya jika anda memberi peluang untuk mereka bermain kerana ia dapat mendedahkan diri mereka dengan gaya hidup yang aktif dan meningkatkan tahap kecerdasan otak mereka.

  • Jangan terlalu memanjakan anak dengan makanan yang tidak berkhasiat

Anda sebagai ibu bapa harus ambil tahu apa jenis makanan dan minuman yang tidak baik untuk anak anda. Jangan isi kabinet di dapur anda dengan mee segera, jajan, air bergas dan yang seangkatan dengannya.

  • Tanam dalam diri mereka dengan sikap suka membaca tentang kesihatan

Apalah salahnya jika anda belanjakan sedikit wang anda untuk membeli buku-buku yang berkaitan dengan kesihatan. Lagi bagus jika anda dapat membelikan mereka dengan buku-buku yang mempunyai banyak gambar tentang kesihatan kerana percayalah anak-anak kecil sebenarnya lebih tertarik dengan gambar dan warna.

  • Sentiasa tunjuk tanda sokongan untuk anak anda

Sebagai contoh, jika anak anda berbadan gempal, janganlah pula anda ‘sumbat’ mereka dengan makanan yang tidak sihat dan makanan yang boleh menambah berat mereka.

  • Ibu bapa sebagai ‘role model’ untuk anak

Tiada gunanya jika anda terlalu sibuk menyuruh atau memaksa anak anda mengikut tips untuk daya hidup sihat tetapi diri anda sendiri tidak mengamalkannya. Apa guna? Ingat, anda sebagai ibu bapa merupakan ‘role model’ untuk mereka. Jika anda tunjuk sesuatu yang tidak baik, maka tidak baiklah yang anak anda lakukan.