Antara ciri yang sering dikaitkan dengan golongan introvert adalah tidak banyak bercakap dan bersendirian. Ada baiknya jika kamu mempunyai sikap sedemikian tetapi dalam situasi tertentu ia akan memusnahkan karier anda jika tidak dibendung segera. Menjadi proaktif penting untuk masa depan karier anak muda masa kini.

TIDAK BOLEH MALU 

Sekiranya kamu diterima bekerja di syarikat besar dan berpengaruh, sudah tentu kamu dituntut untuk mempamerkan sikap dan prestasi kerja yang bagus. Elakkan daripada bersifat terlalu malu dan tidak mahu bertegur sapa. Perkara pertama yang elok dilakukan apabila bekerja ialah memperkenalkan diri kepada semua kakitangan dan majikan. Mula mencari kenalan apabila sudah seminggu bekerja, jangan harapkan mereka menegur kamu. Kamu perlu berusaha lebih menambah kenalan sebagai kakitangan baru.

LUAHKAN IDEA 

Golongan introvert selalu dikaitkan dengan kurang berkeyakinan diri dan tidak proaktif di tempat kerja. Berika idea atau cadangan jika pendapat kamu di tanya oleh majikan. Jangan terlalu memikirkan kesan dan akibat selepas itu. Mungkin pendapat kamu itu sebenarnya lebih bagus daripada rakan sekerja yang sudah lam dalam syarikat itu.

SERTAI AKTIVITI 

Jika kamu bekerja di syarikat besar, sudah pasti kamu ingin turut serta dan menunjuk kebolehan diri menerusi program dan aktiviti yang dijalankan. Namun, ia akan menjadi kekangan kepada golongan introvert kerana mereka mudah kehilangan ‘tenaga’ apabila berada di sekeliling ramai orang. Atasi masalah ini dengan membiasakan diri dengan aktiviti-aktivit kecil dan cuba menyelesakan diri di tempat ramai orang.

Fikirkan sumbangan yang mampu kamu berikan kepada syarikat dan pada masa yang sama memuaskan hati majikan kamu. Ia akan membuatkan kamu merasakan satu pencapaian yang baru dalam hidup.

Sumber: Harian Metro (11 Mac) & Google (gambar)