Ibu Bapa Perlu Tahu Kaedah Ini Untuk Elak Anak Hilang Ketika Shopping Raya
Hari Raya Aidilfitri sudah hampir tiba. Inilah masanya anda sekeluarga melawati pusat membeli-belah untuk membeli barangan keperluan raya seperti baju raya, kelengkapan rumah dan sebagainya.
Perkara yang merungsingkan kebanyakan ibu bapa adalah ketika membawa anak-anak membeli-belah. Dengan keadaan orang yang ramai dan berasak-asak, risiko anak terlepas dari genggaman mungkin berlaku.
Berikut adalah cara yang boleh ibu bapa praktikkan ketika membawa anak-anak ke pusat membeli-belah.
Usia 0 – 1 tahun
Usia sebegini masih awal untuk mendidik, mengajar atau menunjukkan cara yang betul tentang bahaya yang ada di pusat membeli belah. Paling praktikal ialah dengan kawalan sepenuhnya oleh ibu bapa sepanjang berada di luar.
Ibu bapa perlu peka tentang kebarangkalian risiko dan bahaya yang ada supaya langkah pencegahan dilakukan terlebih dahulu.
Peranan menjaga anak diagihkan antara ibu dan bapa. Contoh jika ibu sibuk memilih barangan keperluannya, maka bapa boleh mengambil alih peranan menjaga anak. Begitulah sebaliknya.
Ibu bapa juga harus memastikan keperluan bayi disediakan seperti susu suam dan jika bayi masih menyusu badan, maka pastikan bayi sudah diberikan susu (sebelum bertolak ataupun di tempat yang disediakan) sebelum meneruskan niat untuk membeli belah.
Justeru, untuk mengelakkan emosi ibu bapa terganggu, terlebih dahulu sempurnakanlah keperluan anak-anak terutama bayi. Membawa peralatan yang sesuai seperti stroller atau beg sandang bayi yang sesuai, iaitu tidak terlalu besar atau kecil dan mudah dibawa.
Usia 2 – 4 tahun
Ketika usia ini, ibu bapa sudah boleh bercakap dengan anak-anak berkenaan bahaya sekeliling. Cara penyampaian perlulah bersahaja dan boleh difahami oleh anak-anak.
Penggunaan medium komunikasi yang lain seperti buku, rancangan televisyen atau gambar rajah bergambar adalah elok untuk memudahkan pemahaman. Seperti bayi, anak-anak dalam lingkungan 2 – 4 tahun juga perlu diperhatikan sepenuhnya oleh ibu bapa.
Giliran memilih pakaian atau barangan keperluan perlu dilakukan oleh ibu dan bapa supaya sentiasa ada orang dewasa yang mengawal anak-anak.
Jika anak-anak merupakan seorang yang hiperaktif atau tidak duduk diam, maka sebaiknya bawa bersama beg sandang anak-anak yang mempunyai tali supaya mereka sentiasa dekat dan terkawal pergerakannya.
Alat ini telah digunakan secara meluas di kebanyakkan negara luar sebagai satu langkah pencegahan anak-anak berkeliaran ke tempat lain tanpa kawalan ibu bapa. Pimpin tangan anak-anak dengan kuat bagi mengelakkan mereka hilang atau sesat dalam limpahan orang ramai.
Usia 5 – 6 tahun
Di peringkat usia ini, anak-anak boleh dilatih untuk bertanggungjawab dengan membawa beg milik sendiri yang mengandungi barang keperluan ketika keluar bersama keluarga.
Kanak-kanak tidak perlu meminta ibu bapa jika dahaga dan lapar kerana mereka boleh mendapatkannya dari beg yang dibawanya sendiri. Pun begitu, ibu bapa perlu menyediakan keperluan itu sebelum bersedia untuk keluar bersiar-siar.
Kebanyakan anak-anak dalam lingkungan usia ini, mereka telah mula faham akan arahan dan keselamatan. Maka sebaiknya, sebelum keluar rumah, berilah peringatan kepada anak-anak supaya berkelakuan baik dan sentiasa berada bersama ibu dan ayah.
Jadikan peringatan itu sebagai kebiasaan sebelum keluar ke mana-mana terutama tempat yang ramai orang. Anak-anak juga perlu diberitahu akan cara terbaik jika dalam situasi tersesat atau hilang daripada kawalan ibu bapa.
Mereka perlu diberitahu untuk pergi ke mana-mana kaunter di pusat membeli belah itu untuk memberitahu bahawa mereka hilang daripada ibu bapa.Pastikan anak-anak mengetahui nama penuh ibu bapa dan namanya sendiri jika merujuk ke kaunter di pusat membeli belah.
Lebih elok sekiranya anak-anak diberitahu tempat untuk meminta tolong di bahagian keselamatan yang tersedia. Langkah lain adalah dengan memberikan kad nama berserta nombor telefon kepada anak-anak sekiranya berlaku kes kehilangan atau sesat. Langkah ini juga telah digunakan secara meluasnya di negara-negara luar.
Selain nama dan nombor telefon ibu bapa, tag nama juga boleh disediakan kepada anak-anak bagi memudahkan urusan bantuan dan pertolongan yang lain.
Sumber: keluarga.my & google (gambar)

